BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 27, 2009

Fenomena Setiap Kali Tibanya Musim Haji



Setiap kali musim haji, kita dapat menyaksikan bagaimana kekhusyukan para jamaah melakukan setiap rukun ibadah haji mereka. Para jemaah diingatkan agar sentiasa menjaga kesucian Kaabah. Mereka akan merasa takjub setiap kali berhadapan dengan Kaabah kerana di situlah Islam diturunkan. Namun, Islam yang diamalkan ketika berhadapan dengan Kaabah hanya dalam aspek ritual belaka. Padahal, Islam yang diturunkan oleh Allah swt bukan hanya sekadar ritual semata-mata, tetapi juga termasuk dalam aspek politik.

Di rumah Allah inilah tempat di mana Rasulullah saw dan para sahabat berjuang dan mempertahankan keimanan mereka. Banyak sekali tempat-tempat di sekitar Makkah yang menjadi bukti dan saksi perjuangan mereka. Jadi adalah tidak menghairankan jika tempat-tempat ini dikatakan mampu membangkitkan perasaan masa lalu generasi awal kaum Muslimin, yang menghadapi pertentangan yang hebat daripada seluruh masyarakat jahiliyyah Makkah pada saat itu. Tidak ada sedikitpun di setiap sudut kota Makkah yang sunyi daripada penindasan dan penyeksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslimin.

Di sana terdapat suatu tempat di mana sahabat Rasulullah saw, Bilal bin Rabbah, seorang yang berketurunan Habsyah, pernah diseksa oleh seorang ketua Quraisy yang bernama Umayyah bin Khalaf. Tempat tersebut telah dilupakan sama sekali kerana tidak dipelihara dan tidak ditanda kedudukannya oleh penguasa Makkah. Diriwayatkan bahawa kawasan tersebut merupakan antara tempat yang paling panas di kawasan Makkah. Sekiranya sekerat daging diletakkan di situ, nescaya ia akan masak. Apabila ada seseorang yang lalu di sekitar tempat tersebut, ia tidak boleh menafikan akan merasakan bahangnya yang sangat panas sehingga ia meyedari bahawa itulah tempatnya, iaitu tempat di mana Bilal bin Rabbah ra tetap tegar dengan keimanannya. Tetapi sangat sedih pada hari ini, kebanyakan orang yang lalu lalang tidak menyedari tentang sejarah kawasan tersebut.

Jika para jemaah haji ditunjukkan tempat-tempat bersejarah ini, tidakkah mereka akan menyaksikan dan merasa rendah diri mengenangkan betapa beratnya perjuangan yang telah dilalui oleh generasi awal kaum Muslimin? Bukankah mereka sedang mula untuk mengkaji bentuk perjuangan ideologi yang telah berlaku? Tidakkah mereka berfikir bahawa aqidah yang mereka yakini ini merupakan satu bentuk mesej daripada Allah yang mesti terus disampaikan kepada umat manusia? Tidakkah mereka menyedari bahawa sejak awal lagi, Islam telah dilihat sebagai ancaman kepada sistem yang ada dan bagi para penguasa yang zalim? Tidakkah ini semua akan menyedarkan para jamaah haji bahawa mereka juga sebenarnya adalah sebahagian daripada hasil perjuangan tersebut ketika melakukan setiap rukun haji?

Para jemaah haji juga harus ditunjukkan tempat di mana Khabab bin al-Arat ra diletakkan perisai besi yang panas ke atas dadanya tanpa berpakaian, agar dia meninggalkan Islam daripada jiwanya. Bukankah ini akan menyedarkan seseorang untuk berfikir dan bertanya, mengapa terdapat penyeksaan yang sedemikian rupa dan mengapa terdapat rintangan yang hebat kepada risalah yang sempurna, bahkan terdapat fakta yang menunjukkan risalah ini terus menerus masuk ke dalam semua sistem palsu yang ada di dalam kehidupan ini? Tidakkah ini akan menyebabkan perasaan seseorang itu akan tertarik kepada pergolakkan pemikiran dan politik? Mengapa tidak ditunjukkan tempat di mana Rasulullah saw dicela dan dihina oleh Abu Jahal, di mana surat Al-Alaq diturunkan, tempat di mana Allah swt memberikan kebenaran kepada Jibril untuk membunuh Abu Jahal dan tempat di mana Abu Jahal cuba mencekik Rasulullah saw?

Jika mereka ditunjukkan tempat-tempat tersebut di samping semua kisah-kisah ini diterangkan, nescaya bagi mereka yang ikhlas, qalbu mereka akan dipenuhi dengan suatu perasaan yang mendalam dan pemikiran mereka akan menyedari bahawa apa yang sebenarnya berlaku adalah merupakan perjuangan dakwah atas Rasulullah saw yang mulia yang kemudiannya menyebabkan tertegaknya suatu ideologi yang menguasai dunia telah berlaku di situ serta para jamaah akan dapat menyedari bahawa mereka merupakan hasil daripada perjuangan tersebut. Jiwa mereka akan turut tertarik untuk bertanya di manakah ideologi yang agung itu hari ini? Ini akan menimbulkan semangat berjuta-juta jemaah untuk berani berhadapan dengan para penguasa yang ada pada saat ini.

Begitulah juga jika mereka ditunjukkan Darul Arqam, iaitu tempat di mana halaqah-halaqah (pembinaan tsaqafah) dijalankan pada malam hari, atau mereka ditunjukkan halaman-halaman rumah di mana Saidina Abu Bakar ra selalu membaca al-Quran dengan suara yang kuat dan beliau menangis walaupun dia telah dijanjikan perlindungan oleh Allah swt., atau tempat berhampiran dengan Makkah di mana Rasulullah saw telah dianiaya sehingga menyebabkan darahnya mengalir hingga ke kaki dan selipar baginda menjadi merah sehingga tidak dapat dibezakan di antara kaki Rasulullah dan selipar baginda.

Juga tempat di mana baginda Rasulullah saw hamper-hampir dibunuh sebelum baginda berhijrah ke Yathrib, tempat yang mana menunjukkan keberanian Ali bin Abi Talib yang sanggup menggantikan tempat Rasulullah saw yang menjadi sasaran pembunuh. Inilah suasana perjuangan yang harus dibina di kalangan para jemaah agar mereka dapat sedar dan bangkit. Perasaan suasana haji sangat signifikan untuk mencetuskan gelombang kebangkitan ini di kalangan jemaah haji dan seterusnya di kalangan kaum Muslimin.

Niat Jahat Regim Barat

Kesedaran daripada realiti politik pada masa lalu sudah tentu dapat memberikan gambaran yang sangat kuat di dalam fikiran para jamaah haji dan mereka akan mengarahkan jari telunjuk ke arah semua kerajaan dan penguasa yang ada saat ini kerana kegagalan mereka membela ideologi yang agung ini. Mereka hanyalah boneka dan usaha menegakkan Islam tidak ditentukan oleh mereka walaupun mereka berusaha untuk menyuarakan perjuangan Islam. Sesungguhnya kesedaran umat Islam hari ini boleh dilihat di mana-mana dan ini akan dapat mengembalikan kehidupan Islam dengan kejayaan yang besar.

Ini menjelaskan sebab mengapa Barat dan agen-agen mereka sentiasa menonjolkan aspek kerohanian atau ritual belaka, walhal semua aspek politik (menguruskan urusan umat) daripada sistem Islam telah dicabut sama sekali. Salah satu contoh yang paling jelas adalah bagaimana penguasa Arab Saudi melarang setiap perbincangan yang bersifat politik berkaitan kaum Muslimin sedunia kecuali terhad hanya pada perbincangan tentang ibadah haji masing-masing. Padahal perkara tersebut (membincangkan tentang politik) telah menjadi kebiasaan sejak bertahun-tahun.

Bahkan para penguasa tersebut telah memberi jaminan kepada Barat bahawa selepas serangan 11 September 2001, semua jamaah haji akan diawasi, dikawal dan dilarang untuk membincangkan hal-hal yang bersifat politik. Sedikit demi sedikit, hal itu telah menghalang kemunculan persoalan secara rawak di dalam fikiran setiap jamaah tentang penyelewengan yang berlaku di seluruh dunia kaum Muslimin oleh para penguasa pengkhianat laknatullah 'alaih.

Penjagaan tempat-tempat yang disebutkan tadi sebenarnya berada di bawah tanggungjawab mereka yang mengaku menjadi penjaga dan pelindung kaum Muslimin. Ini adalah kerana tempat-tempat tersebut menjadi amaran kepada kaum Muslimin agar api Islam itu tetap menyala di dalam hati setiap kaum Muslimin dan bahkan menjadi pencetus momentum kebangkitan Islam.

Penipuan ke atas Kaum Muslimin

Namun begitu, penguasa yang ada pada hari ini tidak lagi melindungi tempat-tempat tersebut. Bahkan mereka memusnahkan atau menutupi tempat-tempat tersebut dengan niat untuk mengkhianati kaum Muslimin lalu mereka memberi alasan bahawa tempat-tempat tersebut akan menimbulkan kesyirikan kepada Allah. Sebenarnya pada waktu ini merekalah ibu kepada kemusyrikan yang berlaku di seluruh dunia kaum Muslimin. Oleh kerana itu, sejak awal lagi mereka mendapat kuasa daripada para kolonialis (Britain dan Perancis). Perkara pertama yang mereka lakukan adalah dengan membina binaan-binaan kekal atas lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Kaabah. Padahal masyarakat ketika itu secara keseluruhannya tidak pernah melakukan amalan-amalan pemujaan-pemujaan di tempat tersebut dan hanya menziarahinya seperti menziarahi kubur.

Jadi, perkara syirik yang dikatakan para penguasa ini sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh umat pada waktu itu. Jika benar mereka memusnahkan tempat-tempat tersebut secara ikhlas tanpa niat yang tidak baik, bagaimana mungkin mereka dapat menerangkan pembinaan monumen-monumen amaran berunsur assobiyyah (nasionalisme arab) yang menggambarkan kisah perjuangan dan kebangkitan tentera Arab menentang Khilafah Islam? Pada waktu yang sama, mereka telah memusnahkan tapak Uhud yang disebut sebagai baqiyah (pusara Uhud) di mana Rasulullah saw biasanya akan singgah dan membacakan doa dan juga menjadi peringatan tentang perjuangan idelogi dalam peperangan Uhud. Mereka telah memusnahkan tempat-tempat tersebut dan sebaliknya menguruskan pemeliharaan monumen peringatan Istana Saud.

Jika kita berjalan melalui Riyadh, kita akan melihat Istana Masmak di mana pada masa dahulu ia menjadi tempat para pegawai Britain di dalam menjalankan perancangan jahat untuk meruntuhkan Daulah Khilafah Islamiyah. Britain kemudiannya berjaya memisahkan Arab Saudi daripada Daulah Khilafah Islamiyah dan selanjutnya dengan baik hati telah menghadiahkan tanah Hijaz kepada kesultanan Saudi kerana telah memberikan sokongan kepada Britain. Istana tersebut dipelihara dan dijaga untuk memelihara monumen-monumen sebagai peringatan perjuangan assobiyyah dan sebagai simbol kebanggaan. Rumah Saud ini dilindungi termasuklah juga lubang-lubang bekas tembakan tentera Khilafah Uthmaniyah. Lubang-lubang yang terdapat di dinding rumah tersebut dikatakan sebagai kesan perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman Daulah Islam. Lubang-lubang inilah yang diusahakan secara meluas untuk menimbulkan sentimen assobiyyah Arab untuk menentang apa yang dianggapkan sebagai penjajahan Daulah Khilafah Uthmaniyyah.

Keadaan ini jelas-jelas secara nyata telah menggambarkan kejahatan ke atas kaum Muslimin. Dari satu sisi, para penguasa ini telah menuduh bahawa simbol-simbol perjuangan umat Islam terdahulu telah membawa kepada kemusyrikan, dan pada sudut yang lain mereka membiarkan dan memelihara monumen yang melambangkan assobiyyah yang merupakan salah satu bentuk fahaman jahiliyyah. Ini juga menunjukkan kepada kaum Muslimin tentang objektif jenayah politik mereka di sebalik kesemua keputusan yang mereka buat. Mereka menghapuskan tapak peringatan perjuangan Rasulullah saw dan dikatakan ia bukanlah bersifat agama seperti yang mereka gembar-gemburkan, walhal ia semata-mata bertujuan untuk mencabut aspek politik daripadanya.

Khatimah

Walaupun ibadah haji telah dilaksanakan selama bertahun-tahun oleh kaum Muslimin, namun tidak ada sedikitpun pertentangan dalam bentuk gerakan yang besar daripada jamaah haji yang hadir di Makkah. Demonstrasi yang dilakukan oleh sebahagian kecil kaum Muslimin ketika mengerjakan haji tentu tidak mempengaruhi sedikit pun, malah mungkin akan dikatakan sebagai pengacau oleh pihak keselamatan Makkah. Sepatutnya kebangkitan ini wajib berlaku di seluruh peringkat supaya dapat menyedarkan kaum Muslimin tentang perkara yang mesti dipandang serius oleh mereka di seluruh dunia.

Sepanjang sejarah kegemilangan pemerintahan Islam, musim haji merupakan tempat berkumpulnya umat Islam bersama Khalifah untuk duduk bersama dan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan kepentingan kaum Muslimin. Tetapi pada hari ini, pertemuan haji bukan sahaja hanya memperlihatkan aspek ritual di kalangan jamaah belaka, namun ia juga menunjukkan dengan jelas sentimen assobiyyah di kalangan jamaah.

InsyaAllah, suatu ketika nanti, Khilafah akan mengembalikan ingatan kita kepada perjuangan Rasulullah saw di Makkah dan jemaah haji akan berkumpul di Makkah bersama Amirul mukminin mereka, Khilafah Rasyidah ‘ala minhajin nubuwwah.

sumber : www.mykhilafah.com

Wednesday, November 18, 2009

1

Tuesday, November 10, 2009

JALAN KEPAYAHAN

Panggilannya Pak Soma. Usianya sekitar 60an. Saya pertama kali mengenalnya sejak pindah rumah ke kampungnya persis dekat rumahnya. Saat itu kami berdua sama-sama menunaikan solat maghrib berjemaah. Dari raut wajahnya, ia nampak seorang yang tegar.

Awalnya saya melihat Pak Soma sekadar insan biasa. Memang, ada satu hal yang membuat siapapun tersentuh.Ya, ini kerana secara fizikal Pak Soma bukanlah manusia sempurna. Ia seorang yang cacat. Salah satu kakinya kudung dan hanya tinggal seperempat. Kerana itu, kemana-mana ia bergantung kepada kedua tongkatnya.

Sebetulnya ada ramai orang yang senasib dengan Pak Soma. Namun, mungkin tidak ramai orang yang cacat taat beribadah, termasuk tak pernah ketinggalan solat lima waktu secara berjemaah di masjid, seperti Pak Soma. Padahal jarak rumahnya ke masjid cukup jauh, hampir setengah kilometer. Yang membuat ia semakin luar biasa, dengan melepas tongkatnya, ternyata ia solat tetap sambil berdiri, tentu dengan satu kaki. Ia tidak pernah solat sambil duduk. Bayangkan dalam solat berjemaah di masjid itu , berdiri dan rukuk satu rakaat sahaja Pak Soma kadang-kadang memerlukan 2-3minit, apatah lagi imamnya ternyata sentiasa membaca surah yang panjang. Belum lagi ia dikira rajin melakukan solat-solat nafilah seperti tahajud, dhuha, hajat dll, juga dengan satu kaki.

Saat saya tanya, mengapa tidak solat sambil duduk saja, apatah lagi ianya syar'ie dibolehkan kerana ada uzur. Apalagi berdirinya Pak Soma dalam solat juga kadang2 tidak selalu stabil, kakinya tampak sering bergetar dan goyah, terutama saat harus berdiri agak lama. Namun dengan mantap Pak Soma menjawab "Saya ingin kepayahan saya dalam mendirikan solat menjadi bukti kesungguhan saya dalam beribadah kepada Allah, yang saya akan tunjukkan saat menghadap kepadaNya di akhirat kelak"

Subhanallah!! Betapa luar biasanya kata-kata yang sebetulnya sederhana ini. Bagaimana tidak! Di tengah-tengah saat ini orang mencari berbagai kemudahan, termasuk dalam ibadah, masih ada yang ingin menempuh 'jalan kepayahan'. Pak Soma adalah salah satu daripadanya.

Yang semakin membuat saya takjub, ternyata Pak Soma telah kehilangan satu kakinya juga kerana ia menempuh 'jalan kepayahan' itu. Saat itu sekitar sepuluh tahun lalu, sambil berlari secepat kilat, ia berupaya keras menyelamatkan seseorang yang hendak tersambar kereta api. Ia berhasil, meski harus dengan berguling-guling.Namun ia gagal menyelamatkan dirinya dan harus kehilangan satu kakinya kerana tersambar oleh kereta api tersebut.

Jalan kepayahan sebetulnya merupakan tradisi para salafus-soleh. Bahkan jalan inilah yang sejak awal dicontohkan oleh Baginda rasulullah saw dan para sahabat beliau. Baginda Rasul, misalnya dikenali selali memenuhkan malam-malamnya dengan solat malam. Dalam banyak riwayat ditegaskan kaki beliau sering bengkak-bengkak kerana seringnya beliau berdiri lama salam solat-solat malamnya. Saat Ummul Mukminin Aisyah ra bertanya mengapa beliau sampai harus bersusah payah seperti itu padahal beliau ma'sum, sambil tersenyum beliau malah bertanya kembali "Wahai Aisyah, tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur kepadaNya dengan semua itu?" (HR Bukhari, Muslim, Ibn Majah dan Ahmad)

Tentu tidak hanya dalam ibadah, 'jalan kepayahan' itu pula yang ditempuh Baginda Rasulullah saw dalam sebahagian besar episod dakwahnya. Betapa beliau sering 'memilih' untuk dicaci, dihina, dimaki, dilemparkan dengan kotoran dan batu bahkan diancam bunuh sebagai akibat dari kesungguhannya dan keistiqamahan beliau dalam dakwahnya. Saat orang-orang kafir sudah hampir putus asa menghalangi dakwah, melalui pakcik beliau, mereka kemudian menawari beliau dengan harta yang banyak, kedudukan yang tinggi, juga wanita-wanita cantik terpilih. Namun, semua itu tidak membuat hati beliau luruh sedikit pun. Beliau tetap bertegas. Yang terucap dari lisan beliau yang mulia malah sebuah kalimat terkenal "Pakcik, andai mereka sanggup meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan ditangan kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (dakwah), aku tidak akan melakukannya, hingga Allah memenangkan agamaNya atau aku mati kerananya" (HR Ibn Hisyam)

'Jalan kepayahan yang ditempuh pula oleh sahabat beliau Bilal Bin rabah, misalnya dalam keadaan punggungnya telanjang tanpa baju, rela dijemur di atas pasir, dibawah terik matahari yang menyengat, lalu ditindih dengan batu. Yassir rela dijerut lehernya dan Sumaiyyah rela tubuhnya ditusuk dengan tombak hingga keduanya harus kehilangan nyawanya. Mus'ab Bin Umair rela meninggalkan harta dan kemewahan serta memilih hidup menderita. Hampir semua sahabat Rasulullah saw tak ragu untuk menggadaikan sebahagian besar(bukan sebahagian kecil) waktu, tenaga,harta bahkan nyawa mereka. Semua 'jalan kepayahan' ini mereka tempuh demi dan untuk dakwah.

Bagaimana dengan kita? Jujur, kita masih berkira-kira saat ingin mengeluarkan rm100 untuk infak dakwah, tetapi selalu begitu sembrono dan tidak fikir panjang saat membelanjakannya di supermarket untuk barang yang kadang tidak diperlukan. Jujur, seperempat jam sering terasa lama untuk berzikir, namun terasa amat pendek untuk tidur dan berehat-rehat. Jujur, setengah jam sering terasa sangat membosankan saat membaca Al-Quran, namun terasa menyenangkan saat membaca surat khabar dan menonton bola di televisyen. Jujur, dua jam dalam halaqah pengajian (meski hanya seminggu sekali) sering terasa menjemukan, namun terasa kurang untuk membaca novel-novel best seller (walaupun ratusan mukasurat). Jujur, kita sering terasa susah merangkai kata untuk ebrdakwah, namun begitu mudah mencari bahan bualan ketika berjumpa kawan. Jujur, kita sering kesulitan mencari alasan untuk melepaskan diri dari pekerjaan, namun begitu mudah untuk memberi alasan untuk tidak datang kelas pengajian. Jujur, hujan lebat sering tidak menghentikan langkah kita untuk meraih target dalam perniagaan, tetapi hujan renyai telah cukup menjadi alasan untuk menghentikan langkah kita demi menunaikan amanah dakwah. Jujur, kita sering merasa payah saat ada taklif dakwah, tetapi sering begitu senang mengiyakan panggilan untuk mengisi acara yang mendatangkan untung.

Jujur, meski kita mengklaim Rasulullah saw adalah teladan kita satu-satunya, namun satu-persatu pula kita tinggalkan keteladanannya. Astaghfirullahalazhim!!

dipetik dan dialih bahasa dari Segmen Ibrah tulisan Arief B. Iskandar
Al-Wa'ie November 2009.