BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, June 02, 2009

Apa beza nasionalisma dan komunisma?


TIDAK WAJAR MENYAMAKAN NASIONALISMA DAN KOMUNISMA

Oleh Zainuddin Mahmud

KUALA LUMPUR, Jun 2 – Baru-baru ini Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat dalam kenyataannya berhubung isu kepulangan China Peng ke Malaysia menyelar Umno dengan menyifatkan nasionalisme sama komunisme. Kenyataan ini tidak wajar tetapi tidak mengejutkan bagi para pemerhati politik tanah air.

Tidak wajar kerana hakikatnya nasionalisme tidak sama dengan komunisme. Ditambah pula ada bayangan daripada kenyataan itu bahawa Umno adalah serupa dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Tentu tidak munasabah. Hujah bahawa kedua-dua nasionalisme dan komunisme itu adalah sekular, maka yang sama adalah juga tidak dapat diterima.

Mungkin komunisme itu sekluar kerana ia memisahkan agama daripada politik, tetapi dalam banyak aliran nasionalisme, ada yang tidak bersifat sekular. Contoh jelas ialah Umno sendiri. Ia merupakan parti yang berasaskan nasionalsime tetapi tidak sekular. Ini kerana ia tidak memisahkan agama daripada politik.

Namun begitu, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak memeranjatkan kerana banyak kata-katanya sejak beliau berkecimpung dalam politik, lebih-lebih lagi ketika menyandang jawatan ketua kerajaan negeri banyak yang mengandungi kontroversi serta tidak dapat diterima, hatta di kalangan penyokong PAS sendiri.

Namun begitu, sudah tentu, kalangan PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat akan membisu dan menyanggah kata-kata Tuan Guru itu. Ini kerana kedudukan beliau amat tinggi dalam gerakan pembangkang di negara ini hingga membolehkan apa saja yang diperkatakan dianggap sebagai suatu amanat yang tidak wajar dipertikaikan.

Terdapat tiga kedudukan di mana beliau berada di tempat yang disegani hingga kata-katanya, walaupun tidak wajar tetapi didiamkan saja. Kedudukan itu berlaku kerana beliau merupakan pemimpin paling tinggi dalam PAS mengatasi presidennya sendiri iaitu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tetapi lebih penting lagi ialah Nik Abdul Aziz pula dipandang seorang tokoh yang terbukti berjaya dalam politiik. Kemampuannya memperthankan kedudukan kerajaan negeri di Kelantan sejak tahun 1990 menjadikan beliau disegani hingga mendorong kepada pihak dalam partinya sentiasa akur dengan pandangan beliau.

Faktor ketiga pula ialah beliau sebagai ulama yang semakin lanjut usia di mana rekod kepimpinannya bertambah diungguli menyebabkan banyak pihak terutama dalam parti percaya bahawa seolah-olah beliau mempunyai kebijaksanaan istimewa hinggakan sukar untuk sesiapa berani mengkritik beliau, hatta di kalangan musuh politiknya di luar PAS.

Sedangkan hakikatnya ialah, dan semua orang faham bahawa beliau tidak maksum. Dalam ajaran Sunnah wal Jamaah, hanya para nabi dan Rasul yang maksum. Tentu para ulama walaupun hebat setinggi mana, tidak akan mencapai kedudukan maksum. Justeru pandangan mereka boleh dikritik.

Tetapi dalam tradisi Islam, termasuk PAS sendiri akan ada unsur hormat keterlaluan hingga sesuatu pandangan itu tidak diukur daripada apa yang dihujahkan, tetapi siapa yang mengutarakannya.

Maka pandangan mereka yang bukan ulama tidak begitu diambil kira walaupun sesuatu hujah itu berasas. Sebaliknya seseorang ulama, walaupun hujahnya tidak berasas tetapi lebih diambil kira.

Maka begitu jugalah apa yang berlaku terhadap pandangan Nik Abdul Aziz. Sepanjang menjadi ahli politik, beliau banyak juga mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah tetapi oleh kerana kedudukannya, banyak pihak berusaha untuk menjustifikasikan sebagai cara membela pendiriannya. Sedangkan kalau hujahnya tidak betul, maka itulah yang patut disuarakan.

Justeru begitu juga dengan hujah bahawa nasionalisme dan komunisme itu sama. Mungkin ada pihak di kalangan penyokong PAS cuba menjustifikasi Tok Guru bahawa sememangnya nasionalisme dan komunisme itu sama kerana kedua-duanya sekular. Mereka mungkin berusaha untuk menyatakan bahawa PAS menolak sekularisme, maka anggapannya ialah nasionalisme dan komunisme itu adalah serupa dan patut sama-sama ditentang.

Sememangnya terdapat banyak takrif mengenai nasionalisme, komunisme dan sekularisme. Tetapi takrifan yang banyak ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Apa saja yang berada dalam minda manusia boleh ditafsir dengan cara pelbagai. Agama seperti itu juga. Malah Islam juga ditafsirkan dengan pelbagai cara.

Tetapi untuk memudakan perbincangan, nasionalisme adalah fahaman bahawa sekumpulan manusia bersepakat melihat dirinya sebagai satu bangsa yang mempunyai hak dalam suatu kawasan geografi. Maka dengan kesedaran itu, semangat kebangsaan ini berjuang memperoleh haknya daripada dijajah atau ditakluk oleh bangsa lain.

Tidakkah itu fahaman semua parti politik di negara ini termasuk PAS? Semua parti politik di negara ini menganggap diri mereka sebagai suatu bangsa yang mempuynyai hak ke atas negara bernama Malaysia. Bangsa ini walaupun dilihat terdiri daripada banyak suku kaum tetapi hakikatnya sudah menjadi satu bangsa Malaysia.

Maka baik Barisan Nasional, mahupun parti-parti dalam Pakatan Rakyat menerima bahawa mereka adalah sebahagian daripada bangsa Malaysia yang berjuang untuk hak berswama. Semua parti politik menolak penjajahan. Inilah dia nasionalisme. Jika mana-mana parti di negara ini yang menolak fahaman kebangsaan ini, pasti perlembagaan mereka tidak terlepas daripada saringan pendaftar pertubuhan.

Maka tidaklah boleh disamakan nasionalisme dengan komunisme. Tidaklah wajar isu mengenai sama ada Chin Peng wajar diizinkan pulang atau tidak dikaitkan dengan hujah bahawa nasipnalisme dengan komunisme. Seolah-olah hendak dinyatakan bahawa oleh kerana nasionalisme dan komunisme itu serupa, maka Umno sebagai parti nasionalis patut menyokong kembalinya ketua PKM itu ke Malaysia.

Sedangkan apa yang patut Mursyidul Am PAS itu kata ialah pendiriannya sama ada Chin peng wajar diizinkan kembali, dan apakah pendirian PAS tentang isu ini. Lebih tepat ialah PAS sebagai parti yang anti komunis boleh pula bersama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong usaha supaya Chin Peng dibenarkan kembali.

Apa yang hendak diketahui oleh rakyat ialah apakah pendirian PAS, dengan hujah-hujahnya kewajaran Chin Peng diizinkan kembali ke tanah air. Mursyidul Am PAS sebagai penunjuk arah parti wajar mempunyai kenyataan yang menarik dan dapat difahami oleh rakyat tentang mengapa mereka berpenirian demikian.

sumber www.themalaysianinsider.com

Review

Pernyataan Tuan Guru itu ada benarnya. Sebagai barisan ulama' tersohor, semestinya beliau mengetahui akan kebobrokan ideologi buatan manusia yang tidak mampu menyelesaikan masalah, bahkan hanya membawa masalah kepada 'penganutnya'.

Namun, seharusnya kita mengkaji dengan lebih mendasar tentang idea nasionalisma, yang pada Tuan Guru, sama nilainya dengan komunisma. Nasionalisma bukan sekadar terletak pada parti yang hanya secara terang-terangan memperjuangkan asabiyah sesuatu bangsa, namun terjadi juga pada gerakan Islam yang perjuangan Islamnya terbatas pada sesebuah negara.

Nasionalisma bukan sekadar terbatas kepada perjuangan bangsanya sahaja tanpa mempedulikan agama, namun terjadi juga pada gerakan Islam yang cintanya tidak berbelah bahagi pada tanah airnya yang melekat kuat dengan penjajahan sekularisma

Nasionalisma bukan sahaja soal memperjuangkan bangsa tanpa henti, namun berkait pula dengan mengIslamkan tanah airnya sahaja, tanpa mempedulikan nasib kaum muslimin seluruh dunia.

Jadi, bukan suatu perkara yang mustahil, ada juga gerakan Islam yang masih kuat semangat nasionalisnya, wathaniyahnya, asabiyyahnya, tanpa sedar, walaupun emosinya kuat memperjuangkan Islam.

Dan tidak pernah wujud nasionalis sekular dan nasionalis Islam. Mereka yang memperjuangkan Islam, sebagai cara hidup, tidak pernah memperjuangkan nasional dan nasionalisma, melainkan apa yang diperjuangkannya adalah Islam dan Islam semata2. Jika ada ulama'2 terdahulu yang dikatakan memperjuangkan nasionalisma disamping Islam, maka itu sebenarnya adalah suatu pembohongan yang terang dan nyata.Melainkan ulama yang tidak paham bahawa nasionalisma bukan dari Islam dan selamanya tidak akan diterima, kerana dasar perjuangan bagi seorang Muslim, adalah Islam. Negara dipertahankan atas dasar ingin menyelamatkan syariat dan melaksanakan perintah Allah dalam mempertahankan diri dan bukannya atas dasar cintanya pada tanah yang didudukinya.Sayangnya Muslim pada suatu tanah, adalah kerana ingin menerapkan Islam secara kaffah, dan bukannya sayangnya mereka pada tanah itu sebagai "tanah tumpah darah mereka"

Seluruh muka bumi ini adalah milik Allah, selayaknya kita berusaha keras untuk memastikan ianya tidak dijajah oleh mana2 ideologi pun, baik secara fizik atau secara ideanya. Selayaknya pada muka bumi Allah ini, hanya Islam sebagai ideologi yang haq untuk diterap, diperkembang dan dipertahankan selagi hayat di kandung badan.

Bukankah bersengketa diatas ideologi buatan manusia itu merupakan suatu tindakan yang jauh sekali nilai intelektualnya?

Masih lagi sibuk dengan perdebatan nasionalisma, komunisma. Bagaimana pula dengan ideologi Sekularisma? Bukankah idea ini mencengkam erat kaum muslimin, yang sampai ada yang sanggup menggadaikan prinsip atas dasar demokrasi yakni buah sekularisma itu sendiri?

Sekularisma membuahkan demokrasi kerana agama perlu dipecahkan dari negara. Bagaimana ianya dipecahkan? Ianya dipecahkan melalui hak2 asasi dan hak2 peribadi manusia serta suara ramai dalam menentukan hukum, agar hukum Allah itu tidak mampu terlaksana dek ketidak mahuan manusia dalam menerapkan hukum Allah.Dek kerana suara ramainya.

Maka dari kiri ataupun kanan, sedarlah bahawa tercetusnya permasalahan manusia termanifestasi dari kewujudan ideologi ciptaan manusia. Bukankah masanya kalian berdiri dan berjuang atas ideologi dari langit yakni Islam?

Apa yang tidak wajar sebenar-benarnya adalah menerapkan sebarang ideologi ciptaan manusia keatas manusia.

0 comments: